Monday

Ha?? Azwan Gay Dia Okay, Saya tak Okay


Isu gay kini hangat dalam kalangan masyarakat Malaysia yang secara umumnya menolak kegiatan yang berlandaskan nafsu apatah lagi yang songsang.

Azwan Ismail muncul dalam video bertajuk It Gets Better in Malaysia: Azwan Ismail "Saya Gay, Saya OK" di Youtube dan meluahkan rasa mengenai hidupnya yang mengambil masa selama 32 tahun untuk memberanikan dirinya memberitahu umum bahawa dirinya gay.

Dalam video tersebut juga, Azwan ada mengatakan bahawa guru-guru, ustaz dan kawan-kawan memberikan pandangan mengenai hidup dari sudut pandang mereka yang kebanyakannya merupakan orang yang heteroseksual. Tambahnya, "Mereka tidak merasai dan tidak memahami menjadi seorang yang gay."

Sudah tentu! Manusia memberikan pandangan berdasarkan sudut pandang yang mereka lebih arif. Kita boleh memberikan pandangan dari pelbagai sudut, namun akhirnya, kita lebih selesa dengan pandangan yang kita sendiri pernah atau sedang alami.

Namun apakah bermaksud seseorang perlu menjadi gay terlebih dahulu baru boleh memberikan pandangan mengenai gay? Tidak semestinya.

Kita tidak perlu terjebak terlebih dahulu ke dalam sesuatu kancah untuk belajar sesuatu daripadanya, apatah lagi jika kancah tersebut menurut catatan sejarah telah banyak membawa kemusnahan dan musibah kepada manusia.

Analoginya, kita tidak perlu memotong kedua-dua tangan dengan pilihan sendiri hanya untuk belajar betapa susahnya untuk makan dengan menggunakan kaki.

Berbalik kepada video Azwan Ismail, ia dipotong apabila Azwan cuba menjelaskan "kita lebih mengetahui diri kita. Dan kita perlu mengambil masa dan terus mencuba untuk memberitahu orang-orang sebegitu..."

Apa sebenarnya yang ingin diberitahu oleh Azwan kepada "orang-orang sebegitu"? Adakah untuk memberitahu bahawa dirinya gay?

Pada pendapat saya, apa yang sebenarnya perlu diberitahu oleh Azwan Ismail, dan mungkin golongan yang sudah terpengaruh dengan mesej yang disampaikan oleh Azwan adalah bahawa mereka boleh menghadapi cabaran hidup sebagai orang yang nafsunya sengaja disongsangkan.

Jika orang buta diduga dengan nikmat penglihatan yang ditiadakan dalam hidup mereka, jika orang bisu diduga dengan kebolehan bercakap yang ditarik daripada lidah mereka, dan jika orang yang lembut menyotong diuji dengan cara yang begitu dalam hidup mereka sehari-hari, golongan gay ini pula perlu memilih sudut pandang bahawa mereka diuji dengan cara begitu - nafsu mereka songsang.

Dalam videonya, Azwan ada juga menyebut mengenai sukarnya menjadi gay di Malaysia atas faktor agama dan budaya. Ini bermaksud, Azwan masih mengiktiraf bahawa agama itu ada dan ia menjadi kekangan untuk beliau mengekspresikan dirinya sebagai seorang gay. Di hujung videonya pula, Azwan menyebut mengenai sumber kekuatan untuk orang yang berjiwa songsang untuk memberitahu bahawa diri mereka bahawa mereka gay.

Namun, sebenarnya sumber kekuatan yang perlu dicari oleh Azwan bukanlah daripada sesiapa melainkan Allah. Seharusnya Azwan terlebih dahulu mengkaji baik buruk amalan gay sebelum beliau memilih untuk menjadi gay. Jadi, sumber utama yang perlu dikaji tidak lain dan tidak bukan ialah Al-Quran.

Sudah jelas di dalam Al-Quran diceritakan bagaimana Allah menghancurkan kaum Lut sebagaimana yang diceritakan di dalam surah Hud. Minta nasihat daripada orang-orang yang mendalami ilmu Al-Quran agar mendapat panduan yang terarah dan paling tepat mengenai ketetapan yang telah Allah berikan untuk umat manusia patuhi.

Saya fikir mungkin Azwan Ismail menemukan sumber kekuatan yang salah yang lantas membuatkannya memilih jalan yang salah untuk meneruskan hidup dalam kancah gay. Seharusnya, apabila ada sesiapa yang memberikan pandangan mengenai isu gay, Azwan perlu menimbangkan banyak perkara termasuk agama yang dianutinya (yang saya percaya Islam berdasarkan namanya). Bukannya memandang isu ini dari sudut peribadi semata-mata.

Nasihat saya, daripada mencari kekuatan untuk memberitahu diri sendiri dan orang lain bahawa diri mereka gay, seelok-eloknya mereka mencuba lebih kuat lagi untuk memberitahu bahawa mereka cukup kuat untuk menentang hasutan nafsu songsang yang jika dituruti, natijahnya akan membawa kemusnahan pada kehidupan manusia secara keseluruhannya itu.

Mereka perlu percaya bahawa ada sinar di hujung jalan, dan mereka perlu mencari jalan untuk keluar daripada terowong gelap yang sedang mereka lalui. Jadikan insan yang normal, yang secara fitrahnya diciptakan untuk menyukai orang yang berlainan jantina apabila berkata mengenai kecenderungan seks.

Saya fikir hujah yang mengatakan "biarlah itu antara aku dan Allah" apabila berkata mengenai kesongsangan nafsu seks adalah hujah yang lemah kerana Allah sudah terlebih dahulu melaknat kaum-kaum songsang seperti gay sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran. Samalah halnya jika orang-orang yang tidak bertudung, apatah lagi yang berpakaian seksi yang kerap menggunakan alasan "itu antara aku dengan Allah" untuk menghalalkan perbuatan mereka yang jelas menyalahi hukum agama.

Dalam Islam juga telah diajar agar penganutnya kembali kepada Allah dalam mencari kekuatan hati dan meminta petunjuk jalan yang benar. Antaranya dalam doa-doa yang kerap diamalkan, dan yang juga perlu dihayati seperti "rabbana la tuzigh qulubana", "ya muqollibal qulub, thabbit qulubana" dan sebagainya.

Buat Azwan Ismail, anda tak perlu menurut apa-apa yang orang lain beritahu anda, tetapi anda perlu menurut apa yang Maha Mencipta telah beritahu menerusi Kitab-Nya yang suci. Orang-orang yang memberitahu anda apa yang anda perlu buat untuk membentuk diri anda sebenarnya menyampaikan apa yang sudah tertulis, bukannya atas faktor mereka menyampaikan dari sudut pandang mereka sebagai orang heteroseksual. Turut sahaja dan insya Allah things will get better. :)

0 orang menjawab...:

Post a Comment