KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka malam tadi, melambangkan wajah Malaysia yang sebenar dengan rakyat berbilang kaum dan agama tampil penuh warna warni atas semangat muhibah, bersatu padu dan setia kawan sejati, bagi memperingati pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Lima segmen itu yang menarik perhatian ramai termasuk pelancong asing, menonjolkan persembahan berkonsepkan muzikal teater dengan penceritaan yang mengambil masa selama 47 minit bermula penceritaan dari renungan masa silam, saat percantuman tiga wilayah sehingga terbentuk sebuah negara berdaulat yang dipanggil Malaysia.
Sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan dengan Sabah sebagai tuan rumah pertama dipilih, juga membuktikan bahawa perpaduan yang menjadi asas kepada kemajuan negara, terus dipegang teguh oleh rakyat pelbagai kaum yang memenuhi setiap ruang di Padang Merdeka di sini, seawal jam 4 petang.
Majlis pelancaran Hari Malaysia itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah dan isterinya, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan isteri, Datin Seri Faridah Tussin; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi Manjun dan isteri Datin Nur Farizah Abdullah, turut menghadiri sambutan berkenaan.
Sambutan Hari Malaysia yang disiarkan secara langsung oleh RTM turut menunjukkan kelainan apabila hanya satu ucapan dibacakan iaitu perutusan khas oleh Najib yang disiarkan kira-kira jam 8.30 malam, sekali gus melancarkan perayaan itu.
Upacara menandatangani Buku Catatan Hari Malaysia turut disertai Najib, Musa, Rais dan Masidi. Buku khas bersalutkan emas itu memperingati catatan sejarah Hari Malaysia sehingga 100 tahun akan datang akan disimpan di Muzium Negara.
Sebelum acara berakhir kira-kira jam 11 malam, Najib turut menyampaikan anugerah tokoh khas kepada dua penerima dari Semenanjung dan seorang masing-masing dari Sabah dan Sarawak yang terbabit secara langsung dalam menjayakan proses pembentukan Malaysia.
Program malam itu diakhiri dengan persembahan kesenian ‘1Malaysia Menjana Transformasi’ dan pertunjukan semarak bunga api.
Sementara itu, persembahan hiburan oleh artis tempatan bermula seawal jam 4 petang di Padang Merdeka.
sumber: berita harian
http://www.bharian.com.my/articles/SambutanHariMalaysiameriah/Article/
0 orang menjawab...:
Post a Comment