Monday

Istana Negara di Jalan Duta lebih RM800 JUTA

Kos bina Istana Negara di Jalan Duta lebih RM800 juta





KUALA LUMPUR: Kos pembinaan Istana Negara yang baru kini bernilai lebih RM800 juta, termasuk kos menaik taraf jalan dan pembinaan persimpangan bertingkat, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng, berkata perubahan kos itu, berbanding kos asal RM400 juta diumumkan sebelum ini, disebabkan kos asal tidak meliputi harga rundingan dan tidak menyeluruh. Beliau berkata pembinaan bangunan baru di Jalan Duta itu terbahagi kepada tiga komponen utama iaitu Kompleks Istana Negara bernilai kira-kira RM650 juta, persimpangan bertingkat (RM130 juta) dan menaik taraf jalan (RM32.5 juta). "Istana Negara adalah mercu tanda dan simbol kebanggaan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan di Malaysia yang mana kemudahannya mestilah melibatkan aspek keselamatan dan ciri-ciri estetika khusus.

"Sehubungan itu, kerajaan telah menimbangkan beberapa faktor dan menawarkan projek ini secara rundingan terus kepada tiga syarikat bagi ketiga-tiga komponen utama Istana Negara," katanya menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) di sini.

 
Nga ingin tahu kemudahan yang bakal dibina dan jumlah kos perbelanjaan pembinaan Istana Negara yang baru.

 
Yong berkata Istana Negara sedia ada di Jalan Istana pada asalnya merupakan banglo milik perseorangan yang dibina pada 1928 sebelum diambil alih dan diwartakan sebagai Istana Negara pada 1957.

"Kerajaan pada 2005 memutuskan bahawa telah tiba masanya dibina istana baru iaitu di Jalan Duta bagi menggantikan istana sedia ada. Projek Kompleks Istana Negara ini dijangka siap Februari tahun depan," katanya. - BERNAMA

0 orang menjawab...:

Post a Comment